Talak merupakan perkataan yang
berasal daripada Bahasa Arab yang menjelaskan makna melepaskan atau membuka
ikatan. Talak menurut syara’ pula membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan
dengan perkataan yang jelas atau kinayah (sindiran).
Talak bain ialah talak yang
tidak boleh dirujuk semula walaupun isteri masih berada di dalam tempoh edah.
Talak bain terbahagi kepada dua iaitu bain sughra dan bain kubra.
Talak ba’in sughra ialah
talak yang tidak boleh diruju’. Jika sekiranya suami ingin kembali bersama
isteri maka suami perlu menikahinya dengan akad yang baru. Contoh bagi
talak bain sughra ini adalah talak satu atau dua yang telah
habis tempoh iddah, talak khuluk, talak isteri yang belum
disetubuhi dan talak yang difasakhkan.
Talak bain kubra merupakan
talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya yang tidak boleh lagi
dirujuk kembali samada semasa iddah atau selepas iddah. Contoh bagi talak bain
kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau berlaku tiga kali talak secara
berasingan.
Namun begitu, halal bagi bekas
suami menikahi bekas isteri jika sekiranya telah melalui beberapa prosedur
tersebut:
1. Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah
tamat.
2. Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama
lelaki lain dengan akad yang sah.
3. Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya
dengan persetubuhan yang sebenar.
4. Bercerai bersama suami baru.
5. Iddahnya dengan suami baru telah selesai.
Maka selepas daripada itu,
bekas suaminya boleh bernikah semula dengan akad yang baru bersama bekas
isterinya. Ini adalah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam
Al-Quran yang bermaksud:
“Sesudah (diceraikan dua kali)
itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak
halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.
Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka
mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali
(maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan
aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT,
diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.”
(Al-Baqarah, 230)
Bagaimanapun, ada yang
menyatakan bahawa kaedah ini adalah sama sepertimana terkenal dikalangan
masyarakat Malaysia dengan nama Cina Buta. Sebenarnya, ia sekali tidak sama
seperti kaedah Cina Buta, kerana Pernikahan Cina Buta atau nikah Muhallil adalah
pernikahan yang telah dirancang dan bersyarat hanya untuk mencapai tujuan bagi
menghalalkan perkahwinan bersama bekas suami. Maka ini adalah tidak benar
sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT. Cara tersebut adalah haram di sisi
Islam dan dilaknati Allah SWT.
No comments:
Post a Comment