Monday, 17 April 2017

APA ITU HARTA SEPENCARIAN





HARTA SEPENCARIAN: 

PENYELESAIAN DAN PERLAKSANAAN


Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. 

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
Di Malaysia harta sepencarian ini berasal daripada amalan adat dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu adat Temenggung dan adat Perpatih.Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka manakala adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri selain dari negeri di atas.

Adat Temenggung mentakrif harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh kedua-dua suami dan isteri semasa perkahwinan. Seandainya perkahwinan itu telah mencapai usia tiga tahun dan pasangan telah mempunyai anak, maka harta sepencarian adalah harta yang pasangan peroleh atau miliki sebelum mereka berkahwin.Mengikut prinsip asasnya, jika pasangan bercerai atau salah seorang daripada pasangan meninggal dunia maka kedua-dua pihak berhak mendapat bahagian di dalam harta sepencarian tersebut (dalam hal perceraian) atau pasangan yang masih hidup berhak mendapatkan harta sepencarian (dalam hal kematian).

Pada dasarnya tidak terdapat dalil khusus di dalam al-Quran dan al-Sunnah yang menerangkan kedudukan Harta Sepencarian dalam Islam. Pemakaiannya diambil dari segi kaedah ‘uruf. Dalam perundangan Islam, apabila sesuatu ‘uruf diakui kebaikannya dan diberi pengiktirafan undang-undang, maka ia bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti.

Dalam Al-Quran ada menyebut :  

“ Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan ” ( Surah An-Nisa’ : 32 )  

Dalam ayat ini dapat kita fahami bahawa hak wanita dalam harta benda itu bergantung dari apa yang diusahakan. Menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984, harta sepencarian ditakrifkan sebagai:

“Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak’.


DALIL DAN PENDAPAT ULAMA'

Harta sepencarian bukan lagi soal adat semata-mata bahkan telah dikanunkan dalam perundangan dan mengikut prinsip-prinsip Hukum Syara’. Perkara ini boleh dilihat dalam kaedah fiqh Islam yang ada seperti yang dijelaskan oleh al-Sayuti didalam kitab “al-Asybah wa al-Nazair fi al-Qawaid wa al-Furu’ ” di halaman 354 bahawa;

“Adat resam sesuatu bangsa atau kaum yang tidak bertentangan dengan Islam adalah boleh diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah Negara”. 

Di dalam kaedah fiqh atau “al-qawaid al-Fiqhiyyah” ia dikenali dengan kaedah “al-Adat Muhakkamah”. Adat yang juga dikenali dengan ‘urf menurut jumhur fuqaha’ telah ditakrifkan sebagai “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid”. Ini ditakrifkan oleh Abdul Karim Zaidan dalam kitab al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh, halaman 252 dan kitab al-Qawaid al-Fiqhiyyah oleh Haji Muhamad Soleh bin Haji Ahmad, Pustaka Haji Abdul 
Majid di halamn 622.

Agama Islam mengiktiraf pemilikan setiap individu terhadap harta. Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwinan Islam sama sekali tidak menafikan atau membataskan hak tersebut. Islam menganggap harta sepencarian sebagai satu cara pengiktirafan harta yang boleh dimiliki oleh seseorang di atas daya usahanya untuk memiliki harta tersebut. Harta Sepencarian ialah harta yang dimiliki atau diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan usaha secara langsung atau tidak langsung. Ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Nisa’, ayat 32;

Maksudnya: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia Yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian Yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa Yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”


KEHENDAK UNDANG-UNDANG BERKAITAN HARTA SEPANCARIAN

Di dalam menentukan apa-apa aset/harta sebagai Harta sepencarian, kita hendaklah memahami kehendak undang-undang bahawa maksud harta sepencarian itu boleh wujud dalam tiga keadaan iaitu:-

1)    Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha bersama mereka;

2)    Harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’, dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu; dan


3)    Harta yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu berkuatkuasa menurut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’ oleh pihak yang satu itu atau dengan usaha bersama suami isteri. 


HUKUM SYARAK

Islam menerima pemakaian apa-apa adat selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak. Jika dilihat kepada dua kes yang lama itu, jelas bahawa tuntutan harta sepencarian telah berlaku sebelum merdeka iaitu seawal 1919. Ia bukan perkara baharu di Malaysia dan akhirnya hukum adat ini dikanunkan sebagai sebahagian daripada Undang-undang Islam yang ada di Malaysia.

Adat Perpatih juga turut memperuntukkan mengenai harta sepencarian. Namun begitu ia menggunakan prinsip yang agak berbeza. Menurut adat ini harta sepencarian perlu dibahagikan mengikut prinsip berikut: Carian Bahagi, Dapatan Tinggal, Pembawa Kembali, Suku Belah, Suarang Berage. Maksudnya apa-apa harta yang diperoleh ketika berkahwin perlulah dibahagi di antara pasangan seandainya mereka bercerai. Jika mereka tiada anak dan suami mati maka harta itu akan menjadi milik isteri, prinsip yang sama juga terpakai jika isteri yang mati.

Tetapi jika mereka mempunyai anak, maka pembahagian yang akan dilakukan ke atas harta tersebut perlulah dibincangkan terlebih dahulu dengan semua benefisiari. Di dalam adat ini juga harta sepencarian tidak termasuk apa-apa harta yang diperoleh oleh suami sebelum perkahwinan dan dibawa
masuk ke dalam perkahwinan. Harta tersebut akan dipulangkan kepadanya semula jika bercerai dan jika mati kembali kepada sukunya. Prinsip yang sama juga diaplikasikan kepada isteri.

Pembahagiannya akan dilakukan setelah semua hutang dilangsaikan. Jumlahnya adalah sama rata di antara suami dan isteri walaupun mereka mempunyai anak ataupun isteri itu diceraikan kerana berzina. Pengecualian kepada prinsip pembahagian ini adalah jika perceraian itu adalah cerai taklik. Dalam hal ini maka si isteri akan mendapat keseluruhan harta sepencarian.


TUNTUAN HARTA SEPENCARIAN

Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. 

Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.
Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.


KESIMPULAN

Masalah harta sepencarian di antara suami isteri adalah merupakan sesuatu perkara yang sangat penting dan perlu diselesaikan dengan cara yang adil dan saksama terutama sekali apabila berlaku perceraian.

Khidmat dan kerja seseorang isteri di dalam rumah patut diberi pertimbangan sewajarnya dan diberi nilaian yang patut jika khidmat tersebut tidak ada tanda tanda yang ianya diberi secara sukarela, sekurang-kurangnya sebagai upah (Ujrah at-Misl).

Kedua-dua pihak suami isteri yang masing-masing ada peranan dan usaha bagi memperolehi harta, hendaklah diberi hak masing-masing. Dan dalam menentukan kadar dan bahagiannya terserahlah kepada pertimbangan Hakim apabila berlaku pertengkaran dan perselisihan.


Adat juga perlu diambil kira sebagai kaedah Syariah dalam menentukan hak masing-masing.


Sebarang persoalan lanjut mengenai Deklarasi Sepencarian boleh hubungi kami di SINI atau Khidmat Peguam, klik di SINI

Artikel ini adalah hak cipta http://sukapeguamsyarie.blogspot.com/


PUSAKA DAN FARAID

PROSEDUR FARAID & PEMBAHAGIAN 
HARTA PUSAKA BAGI ORANG ISLAM 

 PROSES AWALAN 

 1. Pertamanya, lantiklah dulu seorang atau dua orang Pentadbir dari kalangan ahli waris si mati yang dipersetujui oleh semua waris untuk mengambil tanggungjawab membuat pembahagian ini. Jika tiada ahli waris yang sudah dewasa atau tiada ahli waris yang dipersetujui untuk dilantik sebagai Pentadbir, maka lantiklah mana-mana orang lain yang tidak mewarisi tetapi dipersetujui untuk dilantik oleh ahli waris, contohnya seorang pemegang amanah atau seorang Pguam Syarie. Perlantikan Pentadbir sangat penting kerana dialah yang perlu membuat permohonan Sijil Faraid (jika Pentadbir adalah juga ahli waris) dan hanya dialah yang boleh menjual atau membahagikan hartanah bagi pihak si mati, mengeluarkan duit si mati dari syarikat insurans, bank, KWSP dan pelbagai institusi lain setelah Pentadbir tersebut mendapat surat kuasa mentadbir.

 2. Pentadbir hendaklah membuat SIASATAN WARIS yang ada yang layak mewarisi harta si mati. Waris-waris tersebut hendaklah masih hidup pada masa si mati meninggal dunia. Sekalipun waris tersebut meninggal sebelum harta sempat dibahagikan secara sempurna, waris itu masih berhak kepada bahagiannya dalam Faraid, dan bahagian tersebut akan dibahagikan pula kepada ahli waris kepada waris yang meninggal tersebut. Jika si mati itu seorang lelaki, pastikan si mati tidak mempunyai lebih dari seorang isteri kerana kadangkala si mati merahsiakan perkahwinan poligami beliau dan tidak mendaftarkannya. Jika ada isteri lain dan anak-anak hasil perkahwinan tersebut, mereka semua juga layak mewarisi harta si mati tersebut DENGAN SYARAT perkahwinan yang tidak didaftarkan di Malaysia dibuat pendaftarannya terlebih dahulu dan status anak-anak tersebut diiktiraf sebagai anak si mati. Jika proses ini masih belum selesai, maka hendaklah permohonan Faraid ditangguhkan sehingga pengenalpastian semua waris diselesaikan, termasuklah sehingga permohonan pengesahan nikah dan nasab anak selesai dibuat.

3. Pentadbir ini juga hendaklah mengenalpasti KESEMUA harta milik si mati, buatlah siasatan dengan membuat carian di bank negara untuk mengetahui akaun-akaun bank milik si mati dan hutang-hutang bank yang ada, Pentadbir juga boleh bertanya kepada ahli waris yang mengetahui tentang harta dan hutang si mati, buatlah carian di pejabat tanah, carian di Amanah Saham, KWSP, Tabung Haji, bertanya kepada majikan di tempat si mati bekerja, bertanya kepada syarikat-syarikat insurans dan mana-mana lagi tempat yang dirasakan ada menyelenggara harta milik si mati atau mempunyai pengetahuan akan harta dan/atau hutang si mati.

4. Bagi harta yang telah diberikan penama sebelum si mati meninggal dunia, contohnya duit simpanan KWSP dan duit simpanan Tabung Haji, Pentadbir hendaklah meminta penama tersebut mengeluarkan duit dari institusi berkenaan dan menyerahkannya kepada Pentadbir untuk dibahagikan secara Faraid kerana duit tersebut WAJIB diFaraidkan melainkan si mati pernah secara jelas dan nyata samaada melalui saksi atau melalui dokumen mengatakan bahawa wang di dalam akaun tersebut dihibahkan atau dihadiahkan kepada penama atau kepada orang tertentu.

5. Setelah mengenalpasti kesemua harta dan waris si mati, maka Pentadbir hendaklah memfailkan permohonan sijil Faraid di mahkamah syariah yang berdekatan dengan menyertakan salinan surat beranak setiap waris (untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan) dan salinan kad pengenalan. Juga sertakan juga dokumen berkenaan harta-harta si mati seperti geran tanah, penyata akaun, dan sebagainya.

6. Permohonan sijil Faraid di mahkamah syariah boleh dibuat sekalipun hutang masih belum selesai dilangsaikan kerana kadangkala ahli waris tiada wang untuk melangsaikan kesemua hutang si mati, contohnya seperti pinjaman perumahan. Dalam hal ini, hendaklah disegerakan permohonan sijil Faraid agar boleh diteruskan dengan pelantikan Pentadbir dan seterusnya harta-harta si mati boleh dijual untuk melangsaikan hutangnya, kemudian bakinya barulah diFaraidkan.

7. Sijil Faraid ini hanya untuk mengenalpasti kesemua waris yang ada dan pembahagian yang perlu dibuat kepada setiap orang yang diiktiraf sebagai waris, oleh itu, permohonan sijil Faraid hanya patut ditangguhkan jika ada masalah mengenalpasti waris sahaja. Selain dari itu, hendaklah permohonan ini diteruskan tanpa lengah. Tambahan pula, permohonan mengeluarkan surat kuasa mentadbir di Mahkamah Sivil (jika harta melebihi 2 juta atau harta tanpa tanah) tidak sepatutnya dibuat melebihi tempoh 3 tahun selepas kematian, jika lebih, maka penjelasan perlu diberikan kepada Mahkamah. 

PENGGUNAAN HARTA SI MATI 

Harta si mati hendaklah dimanfaatkan mengikut susunan keutamaan ini seperti yang digariskan syarak:

1. Harta yang dipegang sebagai amanah sekalipun diletakkan atas nama si mati, hendaklah dipulangkan kepada yang berhak, dan tidak boleh dimasukkan dalam senarai harta untuk diFaraidkan.
2. Harta si mati boleh digunakan untuk menanggung kos pengebumian yang tidak keterlaluan. Sekiranya ada ahli waris yang telah menanggung kos ini terlebih dahulu, bolehlah menuntut kembali dari harta si mati sebagai hutang, sebelum harta-harta tersebut diFaraidkan.

3. Hutang-piutang si mati wajib diselesaikan terlebih dahulu. Oleh yang demikian, sebelum sesuatu harta itu diFaraidkan, hendaklah hutang si mati dilangsaikan sepenuhnya. Haram sekiranya mengambil harta si mati sedangkan ahli waris mengetahui ada hutang yang masih tertunggak, melainkan si pemberi hutang secara nyata telah menghalalkannya. Maka selesaikanlah dahulu hutang kereta, hutang rumah, dan pelbagai hutang lain milik si mati, kemudian setelah yakin sudah habis semua hutangnya, barulah diFaraidkan. Sekiranya ada pemiutang yang tidak dijumpai, bahagian dari harta untuk menyelesaikan hutang tersebut boleh diamanahkan kepada seorang yang lain, atau dihadiahkan kepada Baitulmal bagi pihak si mati.

 4. Wasiat si mati (jika ada) hendaklah juga dilaksanakan terlebih dahulu sebelum pembahagian Faraid boleh dibuat. Oleh itu, jika si mati ada membuat wasiat atau waqaf atau hibah atau sedekah dan sebagainya, hendaklah dibahagikan harta tersebut mengikut kehendak si mati melainkan ada isu yang perlu diselesaikan seperti pengesahan hibah, pengesahan wasiat dan sebagainya. Maka pembahagian harta si mati akan ditangguhkan selepas isu tersebut selesai. Failkan permohonan di Mahkamah Syariah jika ada wasiat atau hibah atau sedekah atau wakaf atau sebagainya yang dipersoalkan di kalangan ahli waris. Ingat, wasiat TIDAK BOLEH kepada ahli waris dan TIDAK BOLEH melebihi 1/3 harta si mati, melainkan SEMUA ahli waris bersetuju. Tanpa persetujuan SEMUA ahli waris, wasiat hendaklah terbatal setakat 1/3 harta si mati, dan terbatal di mana-mana sahaja ada pemberian diberikan kepada ahli waris yang bakal menerima harta secara Faraid.

5. Harta Sepencarian juga perlu dibahagikan sebelum Faraid. Oleh yang demikian, pasangan si mati samaada isteri atau suami, boleh menuntut harta sepencarian dari harta si mati sebelum baki harta milik si mati boleh dibahagikan mengikut Faraid. Maka pasangan si mati boleh mendapat dua kali harta si mati: pertama hasil dari tuntutan Harta Sepencarian (sekalipun tidak bercerai dengan si mati), kedua dari bahagiannya mengikut Faraid. Rujuklah ke Mahkamah Syariah terdekat untuk mendapatkan harta sepencarian ini.

6. Akhir sekali, barulah baki harta yang tinggal perlu diFaraidkan kepada ahli waris yang ada mengikut sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

LANTIKAN PENTADBIR 

1. Dapatkan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah terdekat dengan tempat tinggal si mati atau tempat tinggal Pentadbir. Jika harta melebihi takat jumlah tertentu, kes tersebut akan dirujuk ke Mahkamah Tinggi Syariah terdekat. Ikutlah prosedur yang diberikan oleh Mahkamah. Mahkamah akan memanggil saksi-saksi yang mengetahui berkenaan kematian si mati dan waris-waris si mati. Oleh itu, pastikan semua isu berkenaan ahli waris sudah selesai pada masa permohonan mendapatkan sijil Faraid dibuat, dan semua dokumen pengenalan diri ahli waris sudah didapatkan. Jika ada ahli waris yang tidak dapat dicari lagi, maka maklumkan saja kepada Mahkamah. Mahkamah akan memberikan perintah sewajarnya. Permohonan Faraid boleh dibuat tanpa Pguam Syarie Syarie, tetapi jika mampu, eloklah mendapatkannya untuk memudahkan urusan mengumpulkan dokumen yang diperlukan dan tidak perlu turun naik Mahkamah berulang kali.

2. Setelah mendapat Sijil Faraid, jika harta si mati ada melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, DAN jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, barang kemas, KWSP, saham, dan semua harta lain TIDAK melebihi nilai RM 2 juta ringgit, maka permohonan surat kuasa mentadbir perlu dirujuk ke Pejabat Pesaka Kecil di Pejabat Tanah yang menguruskan hartanah tersebut. Mereka akan mengendalikan proses mengeluarkan surat pentadbir termasuklah untuk membuat pembahagian harta lain seperti wang tunai, saham dan harta-harta lain tersebut. Prosiding di pejabat tanah tidak memerlukan khidmat Pguam Syarie tetapi masih boleh melantik Pguam Syarie jika ingin memudahkan urusan suratcara, pemfailan dokumen, pengurusan kes dan sebagainya.

3. Namun, sekiranya harta si mati ada melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, DAN jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan semua harta lain MELEBIHI nilai RM 2 juta ringgit, maka permohonan surat kuasa mentadbir perlu dirujuk ke Mahkamah Tinggi Sivil terdekat dengan tempat kematian si mati atau tempat mastautin Pentadbir yang memohon. Untuk prosedur di Mahkamah Sivil memerlukan khidmat Pguam Syarie.

4. Jika harta si mati TIDAK melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, maka TIDAK KIRA samaada jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan semua harta lain melebihi atau tidak melebihi nilai RM 2 juta ringgit tetapi TIDAK KURANG dari RM 600,000.00, perkara ini hendaklah juga dirujuk ke Mahkamah Tinggi Sivil terdekat dengan tempat kematian si mati atau tempat mastautin Pentadbir yang memohon. Untuk prosedur di Mahkamah Sivil memerlukan khidmat Pguam Syarie. Ini kerana, Pejabat Tanah hanya ada kuasa mentadbir sekiranya ada hartanah yang terlibat dalam aset si mati sahaja.

5. Manakala jika harta si mati TIDAK melibatkan tanah atau rumah atau apa-apa hartanah lain seperti hartanah komersil dan sebagainya, manakala jumlah KESELURUHAN harta si mati termasuk wang tunai, KWSP, saham, dan semua harta lain TIDAK MELEBIHI nilai RM 600,000, maka perkara ini hendaklah dirujuk ke Amanah Raya Berhad. Golongan aset ini dipanggil sebagai pesaka ringkas. Berkenaan prosedur untuk setiap satu permohonan pentadbir ini hendaklah dirujuk kepada institusi yang terlibat masing-masing. Bagi urusan di Mahkamah Tinggi, Pguam Syarie boleh membantu anda. Manakala untuk urusan di pejabat tanah dan Amanah Raya, prosedurnya ada dimaklumkan di pejabat-pejabat yang berdekatan. Setelah surat kuasa mentadbir tersebut dikeluarkan, bolehlah harta si mati yang tinggal (selepas ditolak hutang, wasiat, harta sepencarian dan sebagainya yang dibenarkan oleh syarak) dibahagikan oleh Pentadbir mengikut pembahagian dalam Sijil Faraid. Hakim yang akan membuat kiraan ini sebelum mengeluarkan Sijil Faraid, tetapi jika ingin mengira sendiri sekadar untuk pengetahuan, bolehlah rujuk di laman web yang menyediakan kalkulator Faraid seperti di laman web www2.esyariah.gov.my

Bagi mendapat penjelasan atau ingin membuat pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi kami di talian 013-7000 029. InsyaAllah kami boleh bantu!

HIBAH BERSAMA NHC - KLIK TAJUK DIBAWAH UNTUK MAKLUMAT LANJUT

RAIKAN CINTA, HIBAHKAN HARTA

T erima kasih dan Tahniah diucapkan kepada Tuan/Puan  kerana memilih  untuk merancang/menguruskan harta dengan cara dan kaedah yang betul ...