APAKAH WASIAT ?
Pada asalnya Wasiat ( الوصية ) merupakan perkataan Arab yang membawa maksud pesanan. Maka orang yang berWasiat adalah orang yang menyampaikan pesan semasa dia hidup untuk dilaksanakan sesudah dia mati.
Menurut fuqaha Wasiat merupakan pemberian sesuatu seperti barang, harta, hutang atau manfaat secara sukarela selepas pemberi Wasiat itu mati.
Secara mudahnya dapat difahami sebenarnya Wasiat ialah pesan seseorang ketika masih hidup agar hartanya diberikan/disampaikan/diserahkan kepada orang tertentu (kecuali Ahli waris yang berhak mewarisi secara Faraid) atau kepada suatu lembaga, yang harus dilaksanakan setelah ia (orang yang berWasiat) meninggal dunia yang jumlahnya tidak lebih dari sepertiga dari harta yang ditinggalkannya.
Terdapat elemen-elemen tertentu yang telah ditetapkan oleh Hukum Syarak yang perlu dipatuhi dan dipenuhi sebelum boleh mengiktiraf sesuatu Wasiat itu sah dan diterima oleh Hukum Syarak.
APAKAH RUKUN WASIAT?
1. Pewasiat (al-mushi)
Antara syarat pewasiat mestilah sihat akal fikirannya. Pewasiat yang sihat akal fikirannya boleh menetukan kepada siapa hartanya sepatutnya diberikan untuk dimanfaatkan setelah ketiadaan dirinya. Pewasiat juga mesti melakukan Wasiat tersebut dengan kerelaan atau kemahuannya sendiri. Pewasiat juga tidak semestinya orang Islam sahaja, orang bukan Islam juga boleh berwasiat.
2. Harta yang diwasiatkan (musho bih)
Perkara utama yang perlu dipastikan adalah harta yang ingin diwasiatkan mestilah dari harta milik pewasiat itu sendiri. Harta yang diwasiatkan mestilah tidak melebihi kadar 1/3 dari keseluran harta yang ditinggalkan oleh si mati. Sekiranya harta yang hendak diwasiatkan melebihi kadar 1/3, mestilah mendapat keizinan dan persetujuan kesemua ahli waris si mati. Adapun sekiranya pewasiat itu bukan Islam, kadar bahagian Wasiat adalah tidak terhad. Harta yang diwasiatkan juga tidak boleh diberi kepada salah satu ahli waris si mati kecuali setelah mendapat keizinan kesemua ahli waris yang lain. Harta tersebut juga boleh berbentuk harta yang sudah ada atau yang belum ada seperti wasiat buah dari pokok yang belum berbuah. Malah, harta yang sudah atau belum diketahui juga boleh diwasiatkan seperti susu di dalam perut lembu.
3. Penerima Wasiat (musho lah)
Seseorang yang menerima Wasiat mestilah masih hidupdan diketahui identitinya. Dia juga mestilah seseorang yang boleh memiliki harta. Selain itu, penerima Wasiat mestilah bukan seseorang yang membunuh pewasiat. Seseorang penerima Wasiat mestilah menerima Wasiat yang diberikan kepadanya. Sekiranya dia menolak, Wasiat tersebut akan terbatal.
4. Pemegang amanah menyampaikan Wasiat (musho ilaih)
BAGAIMANA WASIAT BOLEH BERTINDAK SEBAGAI INSTRUMEN PERANCANG DAN PENGURUSAN HARTA PUSAKA?
Antaranya adalah:-
Amanat terakhir si mati
1. Dokumen Wasiat akan mengandungi amanat dan pesanan terakhir si mati kepada individu yang diwasiatkan. Ini akan memudahkan pihak-pihak tersebut mengetahui amanat yang telah diamanahkan kepada pihak-pihak tersebut.
2. Dokumen Wasiat akan menyatakan aset-aset yang tidak diketahui kewujudannya oleh waris-waris si mati.
3. Dokumen Wasiat akan mengandungi maklumat berkaitan hutang-piutang si mati kepada mana-mana pihak atau sebaliknya. ini akan memudahkan bagi waris-waris untuk menuntut atau melangsaikannya bagi pihak si mati.
4. Dokumen Wasiat akan mengandungi maklumat berkaitan harta-harta yang menjadi amanah kepada si mati untuk ditunaikan kepada empunya.
5. Dokumen Wasiat akan memaklumkan mengenai siapa yang dilantik sebagai Penjaga Harta bagi kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun.
6. Dokumen Wasiat akan memaklumkan perlantikan Wasi iaitu pelaksana yang akan memikul tanggungjawab untuk melaksanakan Wasiat si mati serta harta pusaka si mati.
APAKAH KESAN SEKIRANYA SI MATI TIDAK MENINGGALKAN WASIAT?
Perbezaan ketara hanya akan wujud jika Wasiat yang telah dibuat oleh si mati itu ada menyatakan pemakluman tentang Wasi-Wasi yang telah dipilih dan dilantik oleh si mati. Jika perkara ini tidak dinyatakan, maka pengurusan harta pusaka si mati adalah seperti harta ditinggalkan tanpa Wasiat.
Pengurusan harta tidak berwasiat memerlukan ahli waris memohon surat kuasa mentadbir terlebih dahulu.
Tujuan surat kuasa mentadbir ini diperolehi adalah untuk memaklumkan bahawa pihak yang berotoriti telah memberi kuasa bagi mana-mana pihak mentadbir Harta Pusaka si mati sebelum boleh dibuat pembahagian. Permasalahan yang sering kali timbul dalam mendapatkan surat kuasa mentadbir ini ialah siapa yang patut dan layak dilantik. kegagalan mencapai kata sepakat dalam perlantikan pentadbir harta ini akan mengakibatkan kelewatan dalam proses pembahagian Harta Pusaka.
Tambahan pula, dalam peruntukan undang-undang semasa yang berkuatkuasa, mana-mana pentadbir yang bakal dilantik oleh Mahkamah Tinggi perlu memberi jaminan harta kepada Mahkamah sebanyak mana nilai Harta Pusaka si mati. Kegagalan memenuhi kehendak undang-undang ini turut boleh mengakibatkan kelewatan dalam pembahagian Harta Pusaka.
Pengurusan Harta Pusaka yang berwasiat pula memerlukan orang yang telah dipilih dan dilantik menjadi Wasi untuk mendapatkan Geran Probate di Mahkamah Tinggi sivil sebelum Wasi tersebut boleh menjalankan tanggungjawabnya dan sebelum pembahagian harta pusaka dibuat. Proses ini secara langsung telah menjimatkan masa berbanding dengan proses untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir.
SIAPAKAH YANG BOLEH DILANTIK MENJADI WASI ANDA?
Terdapat beberapa individu yang boleh menjadi Wasi. Antaranya ialah Peguam Syarie. Peguam Syarie merupakan individu yang boleh dipercayai untuk menjadi Wasi anda. Selain itu, individu yang dipercayai oleh ahli keluarga juga boleh menjadi Wasi selain syarikat-syarikat amanah.
SECARA KESIMPULANNYA MENGAPA WASIAT SANGAT PERLU DISEDIAKAN?
Ramai yang mempunyai tanggapan apabila sesoarang meninggal dunia setengah harta ada dinamakan penama oleh si mati maka orang tersebut adalah berhak kepada harta tersebut tanpa perlu diagihkan kepada waris yang berhak. Sedangkan penamaan adalah merupakan salah satu bentuk perancangan harta bagi memudahkan ahli waris mendapat maklumat si mati ada harta di institusi kewangan tersebut untuk dibawa keluar dan dihimpunkan dibawah satu tabung sebelum boleh dibahagikan mengikut Faraid.
Wasiat adalah sangat penting untuk disediakan bagi mengelak masalah kelewatan dalam pembahagian kerana proses mendapatkan geran probate yang lebih mudah berbanding Surat Kuasa Mentadbir. Oleh itu dengan adanya Wasiat,ahli waris dapat menggunakannya sebagai instrument perancang dan pengurusan harta pusaka.
No comments:
Post a Comment