Monday, 10 April 2017

DEKLARASI HIBAH

Pengenalan


Hibah merupakan satu perkataan didalam bahasa arab yang membawa maksud pemberian atau hadiah.

Syara’ pula menyatakan hibah adalah akad yang menjadikan kepemilikan tanpa adanya pengganti ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.

Hukum
Menurut Islam, melaksanakan hibah adalah sesuatu perkara yang sunat. Terdapat dalil-dalil pensyariatan di dalam Al-Quran dan Hadith yang menganjurkan untuk melakukan kebaikan seperti dengan cara menolong antara satu sama lain termasuklah dengan memberikan harta kepada orang lain yang memerlukannya.


لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ (١٧٧

Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari akhir, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan), peminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat, orang-orang yang menepati janjinya apabila berjanji, dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah : 177)


“Tidak halal bagi seseorang yang telah memberikan sesuatu pemberian atau menghibahkan suatu hibah atau menarik kembali kecuali orang tua yang memberikan kepada anaknya”. (HR. Abu Daud)

Rukun Hibah


Menurut jumhur ulama’ rukun hibah ada empat:

Rukun hibah, iaitu : penghibah , penerima hibah, ijab dan kabul, dan benda yang dihibahkan. Syarat-syarat hibah itu meliputi syarat penghibah, penerima hibah dan benda yang dihibahkan. Penghibahan harta yang dilakukan oleh orang sakit hukumnya sama dengan wasiat. Menurut jumhur ulama seseorang dapat / boleh menghibahkan semua apa yang dimilikinya kepada orang lain.

Syarat-Syarat Hibah
Hibah mempunyai elemen-elemen khusus yang perlu dipenuhi, kegagalan daripada memenuhi elemen-elemen tersebut boleh menyebabkan kontrak hibah itu tidak sah disisi syarak.
Elemen-elemen yang dimaksudkan adalah seperti wujudnya pemberi dan penerima Hibah, adanya ungkapan pemberian dan penerimaan hibah secara lisan atau perbuatan, kewujudan harta yang ingin dihibahkan tersebut serta perlunya penyerahterimaan harta yang yang dihibahkan tersebut.

a) Syarat-syarat penghibah
Disyaratkan bagi penghibah dengan syarat-syarat berikut:
i. Penghibah memiliki sesuatu untuk dihibahkan
ii. Penghibah bukan orang yang terhalang haknya kerana sesuatu alasan.
iii. Penghibah itu seorang dewasa, kerana kanak-kanak kurang kemampuannya.
iv. Penghibah itu tidak dipaksa, sebab hibah itu akad yang mensyaratkan keredhaan dalam keabsahannya.

b) Syarat-syarat bagi orang yang diberi hibah
Orang yang diberi hibah disyaratkan benar-benar ada waktu diberi hibah. Bila tidak benar-benar ada, atau diperkirakan adanya, misalnya dalam bentuk janin, maka hibah tidak sah. Apabila orang yang diberi hibah itu ada  di waktu pemberian hibah, akan tetapi dia masih atau gila, maka hibah itu diambil oleh walinya, pemeliharaannya atau orang mendidiknya sekalipun dia orang asing.

c) Syarat-syarat bagi yang dihibahkan
Disyaratkan bagi yang dihibahkan:
i. Benar-benar ada
ii. Harta yang bernilai
iii. Dapat dimiliki zatnya, yakni bahawa yang dihibahkan itu adalah apa yang boleh dimiliki, diterima, dan pemilikannya dapat berpindah tangan. Maka tidak sah menghibahkan air di sungai, ikan di laut, burung di udara, masjid-masjid dan seumpamanya.
iv. Tidak berhubungan dengan tempat pemilik hibah, seperti menghibahkan tanaman, pohon, atau bangunan tanpa tanahnya.
v. Dikhususkan, yakni yang dihibahkan itu bukan untuk umum, sebab pemegangan dengan tangan itu tidak sah kecuali bila ditentukaan (dikhususkan) seperti halnya jaminan.

PRAKTIKAL MASA KINI

Terdapat lafaz-lafaz lain yang membawa maksud yang hampir sama seperti Al-a'thiah, As-sodaqah, Al-Hadiah. Sungguhpun dari segi bahasa ia membawa maksud yang sama, Para fuqaha' telahpun mengangkat lafaz-lafaz ini kepada istilah-istilah yang membawa maksud yang tertentu dalam hukum syarak.

Secara mudahnya 'Atiyyah merangkumi harta seseorang yang seseorang itu beri kepada orang lain tidak kira untuk mendekatkan diri kepada Allah, untuk meraih kasih sayang dari insan lain atau sebagainya. Ia merangkumi sedekah, zakat, hibah, hadiah dan sebagainya.

Istilah Hibah secara mudahnya membawa maksud suatu kontrak pemberian memindahmilik, apa jua perkara yang boleh ditafsirkan sebagai harta, oleh mana-mana orang kepada mana orang lain tanpa perlu menukar ganti dan dibuat secara sukarela.

Hibah kini telah digunakan secara meluas dengan maksud dan pemahaman yang telah dijelaskan diatas dalam industri perbankan Islam dan takaful. Antara contoh hibah boleh diwujudkan dalam industri perbankan Islam adalah seperti keadaan pemegang akaun akan menerima pulangan 'profit' dari pihak bank dalam bentuk hibah.



Hibah Takaful

Manakala dalam Industri takaful pula, contoh yang boleh diketengahkan adalah seperti pencarum takaful yang membuat sumbangan melalui kontrak Hibah pada setiap bulan kepada tabungan takaful am. Instrumen hibah takaful hanya setakat merangkumi perkara takaful tersebut dan tidak membabitkan harta-harta anda yang lain.

Dari segi pengamalan kehidupan seharian juga, hibah juga telah digunakan samada secara sedar atau tidak seperti pemberian Hadiah ketika menyambut hari kelahiran atau memberi sumbangan wang apabila menghadiri majlis perkahwinan. Contoh-contoh yang diberikan adalah contoh umum yang sekadar memberi pengetahuan bahawa wujudnya Hibah yang telah diamalkan.



Hibah Sebagai Bentuk Pengurusan 
Harta Pusaka

Dalam konteks pengurusan dan perancangan Harta Pusaka pula, Hibah ini tidaklah mempunyai perbezaan yang ketara dengan apa yang telah diamalkan.

Ini kerana objektif perlaksanaan hibah dalam perancangan harta pusaka adalah lebih kepada penyediaan kontrak hibah semasa dalam tempoh hayat si mati agar tidak dipertikaikan selepas daripada Si mati meningal dunia. Apatah lagi, penyediaan kontrak ini harus dipastikan sempurna dari segenap segi kerana pemberi hibah tidak mungkin sama sekali dipanggil untuk memberi penjelasan Jika dipertikai kelak.


KESAN DAN IMPLIKASI HIBAH

Mana-mana harta yang telah dihibahkan, maka harta hibah tersebut tidak lagi akan tertakluk dengan kepada Hukum Faraid -iaitu pemberian harta yang telah diperincikan oleh Hukum Syarak- selepas daripada kematian Simati.

Hibah Dan Hikmah


Perlu diingatkan bahawa apabila mana-mana orang Islam yang telah meninggal dunia, segala penguasaan terhadap harta akan terputus. Harta tersebut akan menjadi harta pusaka yang boleh diwariskan kepada yang berhak mengikut hukum faraid yang telah ditetapkan. Dalam erti kata lain, mereka yang layak yang telah memenuhi syarat pewarisan menurut hukum syarak sahaja yang akan mendapat manfaat daripada harta pusaka tersebut.

Anak Angkat, Ibu Susuan, Jiran, Rakan Perniagaan

Dalam hal ini sudah semestinya mengecewakan mereka yang mempunyai hubungan akrab dengan si mati semasa hayatnya seperti anak angkat, ibu sususan, jiran tertangga, rakan perniagaan yang telah banyak terhutang budi atau sesiapa sahaja yang telah berbuat baik semasa hayat si mati.

Ahli A’sobah, Tiada Anak Lelaki, Belum Berkahwin Tetapi Berharta, Berpoligami

Dalam hal keadaan lain pula, terdapat sesetengah keadaan dalam Hukum Faraid yang ahli waris terpaksa mewarisi bersama-sama dengan baitulmal atau ahli a'sobah - mereka yang mewarisi secara lebihan. Ini mungkin turut boleh menyukarkan pembahagian harta pusaka kerana terdapat pihak lain yang mewarisi secara bersama ini.

Muallaf

Antara hal keadaan lain yang juga boleh dijadikan contoh adalah seperti seseorang yang baru masuk islam telah meninggal dunia yang masih mempunyai ahli keluarga yang bukan islam, keadaan sebegini mengikut hukum syarak, harta seseorang muallaf itu akan diwariskan sepenuhnya kepada baitulmal. Justeru itu, sebagai langkah alternatif, Kontrak hibah boleh dimanfaatkan bagi memastikan mereka yang tidak mewarisi harta secara faraid dapat menerima manfaat daripada harta si mati disebabkan kekangan untuk sesuatu wasiat dilaksanakan, Cara lain untuk memberi harta kepada seseorang yang kita kehendaki adalah melalui hibah. Beza hibah dan wasiat adalah, wasiat hanya boleh dilaksanakan selepas berlaku kematian orang yang membuat wasiat. Hibah pula boleh dilaksanakan serta-merta, dan boleh dipindah-milik kepada penerima hibah.

Walaubagaimanapun, bukan semua harta boleh dihibahkan.Jika harta tu sebuah rumah semasa hibah dibuat, rumah tu mestilah milikan penuh si pemberi hibah, maksudnya bebas hutang bank atau sekurang-kurangnya mesti dilindungi takaful MLTT, MRTT, MLTA dan MRTA 100% sepenuhnya jika berlaku kematian. Jadi, jika sebuah kereta yang masih ada pinjaman bank, tidak bolehlah dihibahkan kerana pada masa hibah dibuat, kereta tersebut bukan milikan penuh si pemberi itu lagi kerana kereta tersebut masih milik bank. Begitu juga harta lain seperti barang kemas dan sebagainya.

Hibah juga boleh ditangguhkan urusan pindah-miliknya, bermaksud apabila kita dah meninggal barulah dipindahkan hak milik kepada penerima hibah. Tetapi hendaklah diingat, janganlah hibahkan kesemuanya kepada orang tertentu sahaja sehingga tiada harta langsung yang tinggal kepada ahli waris lain yang layak terima harta secara faraid. Jadi tinggalkan sedikit harta anda supaya boleh dibahagikan kepada waris lain yang tidak termasuk dalam hibah.

Kesimpulan

Hibah adalah merupakan suatu pemberian yang bersifat sukarela (tidak ada sebab dan musababnya) tanpa ada kontra prestasi dari pihak penerima pemberian, dan pemberian itu dilangsungkan pada saat si pemberi masih hidup (inilah yang membezakannya dengan wasiat, yang mana wasiat diberikan setelah si pewasiat meninggal dunia).


ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya
[al-Mâidah:2]


============================================================

PESANAN PENTING: 
Jika Hibah melibatkan pemberian tanah atau rumah, mesti dapatkan perintah Mahkamah Syariah yang mengesahkan hibah. Jika membuat dokumen hibah di agensi hibah atau di Amanah Raya belum mencukupi,kerana perlu juga ke Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dokumen hibah tersebut. Apabila Perintah Mahkamah dikeluarkan, kemudian bolehlah harta tersebut dipindah-milik kepada penerima. Jika tidak, Pejabat Tanah juga tidak boleh membuat urusan tersebut apabila pemilik berdaftar tanah tersebut sudah meninggal dunia dan terpaksalah difaraidkan jugak akhirnya.

TIP PEMBERIAN HIBAH


  • Pemberian hibah dapat mengeratkan tali silaturrahim di antara keluarga, rakan, taulan dan juga sesama  insan di samping kita dapat menggembirakan hati pihak lain khususnya mereka yang kita sayangi.
  • Dengan pemberian hibah juga kita dapat membantu masyarakat dan golongan-golongan yang amat memerlukan bantuan serta pertolongan.
  • Jadikan pemberian hibah itu sebagai  satu amalan yang murni dan baik apabila kita berkemampuan untuk  melakukannya.
  • Hibah dapat menggembirakan hati orang lain dan dengan ini mereka akan selalu mendoakan untuk kita kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan  di akhirat.
  • Hibah juga mendidik diri kita agar tidak bersikap tamak, bakhil dan kedekut. Ini dapat menghapuskan sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita dari terus bermaharajalela.

Bagi mereka yang memerlukan Nasihat dan Bantuan, jangan malu untuk bertanya kepada pihak yang lebih arif terhadap tajuk kupasan Hibah ini. Anda Boleh juga hubungi peguam kami untuk maklumat dan bantuan lanjut. Moga perkongsian ini bermanfaat.

Sebarang Kemusykilan Berkaitan Perundangan Syariah Kehartaan Islam,

boleh hubungi kami di SINI


No comments:

Post a Comment

HIBAH BERSAMA NHC - KLIK TAJUK DIBAWAH UNTUK MAKLUMAT LANJUT

RAIKAN CINTA, HIBAHKAN HARTA

T erima kasih dan Tahniah diucapkan kepada Tuan/Puan  kerana memilih  untuk merancang/menguruskan harta dengan cara dan kaedah yang betul ...